Lelaki Tak Solat Jumaat Dikenakan Penjara Dan Denda

Lelaki tak solat Jumaat dikenakan penjara dan denda? Mulai 1 Jun 2015, Negeri Kedah menerusi Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), mengesahkan bahawa umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak 3 kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Menurut ketua penguatkuasa Jaik, Syeikh Ahmad Fisol Omar, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan saman tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri".

"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Tak Solat Jumaat Dikenakan Penjara dan Denda

Lelaki Tak Solat Jumaat Dikenakan Penjara Dan Denda

Syeikh Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat Jumaat.   

Perkara tentang Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.

Penguatkuasaan sepatutnya bermula pada 1 Februari lepas tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaik akan hanya mula menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.

Syeikh Ahmad berkata, Jaik mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang itu.

"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya.

Beliau berkata, orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan. – Bernama


1 Komentar untuk "Lelaki Tak Solat Jumaat Dikenakan Penjara Dan Denda"

hmmm , cukup ke dengan denda2 ni . .

Terima kasih untuk komen yang berharga anda, datang lagi.

 
Copyright © 2014 Bakul2011.com - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info