Assalamualaikum
Pengguna laman sosial Facebook di negara ini perlu berhati-hati dengan
pautan laman sesawang berantai yang disyaki mengandungi pepijat
'Heartbleed', iaitu sejenis penggodam akaun pengguna.
Bermula awal minggu lalu, pepijat Heartbleed atau CVE-2014-0160 yang
belum diketahui asal-usulnya, membolehkan penggodam mencuri data
peribadi pengguna Facebook bagi tujuan yang tidak baik.
Awal minggu ini, Reuters melaporkan kerajaan Amerika Syarikat
mengeluarkan amaran kepada institusi perbankan dan perniagaan di negara
itu agar memperketat kawalan keselamatan siber serta berwaspada dengan
serangan penggodam yang ingin mencuri maklumat peribadi pelanggan
melalui pepijat Heartbleed.
Presiden dan Pengasas Gerakan Belia Teknologi Informasi Khaireel Azlee
Abdul Aziz, berkata pepijat Heartbleed disasar kepada pengguna media
sosial kerana laman seperti itu mempunyai kandungan data peribadi yang
banyak.
"Negara kita merupakan antara pengguna media sosial seperti Facebook
yang tertinggi di rantau ini, dan ia menjadi lubuk kepada penggodam
untuk mengambil data peribadi malah sehingga ke tahap mereka boleh
mengawal akaun media sosial yang dijangkiti pepijat tersebut," katanya
ketika dihubungi Bernama hari ini.
Khaireel Azlee juga berkata sebaik sahaja pautan itu ditekan, penggodam
boleh mengakses semua data peribadi pengguna termasuk kata laluan,
gambar, video, e-mel sehingga ke tahap mengawal akaun sosial pengguna
berkenaan.
"Oleh itu, saya menyarankan semua pengguna berhati-hati ketika melayari
Facebook dan tidak menekan mana-mana pautan berantai, yang mahukan akaun
anda diakses sekiranya ingin melihat video atau gambar yang disertakan
di laman sesawang tersebut," kata beliau yang lebih dikenali sebagai Kay
Azlee melalui program ICT dan Anda terbitan Bernama Radio24, bersiaran
setiap Isnin hingga Jumaat dari 7.45 malam hingga 8 malam.
Beliau berkata setiap pengguna laman sosial seperti Facebook perlu
mempunyai kesedaran yang tinggi sebelum mendedahkan perkara berhubung
kehidupan mereka di laman itu.
"Perlu diingat, sebelum memuat naik apa sahaja, biarlah ia bersifat
umum, sebagai contoh tidak memuat naik gambar ahli keluarga supaya orang
yang berniat jahat tidak mempunyai akses kepada maklumat kehidupan
peribadi anda," katanya.
Sementara itu, laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) memuat naik amaran berhubung serangan pepijat Heartbleed
awal minggu lalu.
Amaran bertarikh 8 April itu dikeluarkan kepada semua agensi dan
syarikat telekomunikasi di negara ini bagi memperketat kawalan
keselamatan mereka daripada diceroboh penggodam menggunakan pepijat
Heartbleed.
Menurut amaran itu, SKMM mengenal pasti 34 laman sesawang yang terjejas
dan telahpun memaklumkan kepada mereka untuk memperbaiki kelemahan
sistem keselamatan masing-masing dengan segera.
SKMM turut menasihati pengguna Internet agar menukar kata laluan
terutama pada akaun media sosial dan e-mel untuk tujuan keselamatan.
Untuk keterangan lanjut berkaitan pepijat Heartbleed, pengguna boleh melayari laman sesawang http://heartbleed.com. - Bernama
2 Komentar untuk "Pengguna Facebook Disarankan berhati-hati dengan Pengodam Heartbleed"
erk ?? mnakutkan !!! kena bhati2 ngan laman sesawang ni.. jan main share je smua cerita kehidupan kita .. ~~~~
kat malaysia ni mungkin dah ada. sebab ada group fb kawan saya yang telah di hack apabila menekan pautan yang macam ni
Terima kasih untuk komen yang berharga anda, datang lagi.