Assalamualaikum
KUALA LUMPUR – Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang
menggantikan peperiksaan berpusat awam Penilaian Menengah Rendah (PMR)
akan bermula 1 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata ia dimulakan dengan
instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1
hingga 18 Julai, di mana murid-murid perlu menyiapkan kerja kursus
berdasarkan tajuk yang diberi dalam tempoh berkenaan.
Ujian lisan meliputi kemahiran mendengar dan bertutur bagi mata
pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula akan diadakan pada 6
hingga 29 Ogos.
Seterusnya, murid-murid terlibat akan menduduki ujian bertulis pada 12
hingga 17 Oktober bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris,
Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa
Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Iban.
“Bagi tahun pertama, kita sedar ada pihak yang belum faham dengan sistem
ini. Kita nak masukkan kemahiran berfikir yang lebih tinggi selaras
dengan perkembangan pendidikan di peringkat global.
“Sebab itu cara pelaksanaan di awal-awal ini agak berbeza tapi akan
stabil beberapa tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Karnival Amal Bukit Damansara di Pusat Komuniti Bukit
Damansara di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata menerusi PT3, pelajar terlibat akan dinilai mengikut
Band iaitu Band Satu bagi pencapaian yang lemah sehingga Band Enam bagi
pencapaian cemerlang.
Tahun 2014 merupakan tahun pertama pelaksanaan PT3 menggantikan
peperiksaan PMR, selaras dengan pengenalan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) yang menjurus kepada sistem pentaksiran pendidikan yang
lebih holistik.
“Semua guru Tingkatan Tiga telah dilatih memandangkan kini mereka perlu
mengajar secara berbeza. Kita harap semua pihak khususnya ibu bapa tidak
ragu-ragu dan beri peluang untuk sistem ini dilaksanakan,” kata
Muhyiddin.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi peringkat permulaan, Lembaga
Peperiksaan Malaysia akan membantu pihak sekolah mengolah soalan
peperiksaan dan seterusnya sekolah boleh memilih daripada bank soalan
yang disediakan itu bagi menyediakan kertas peperiksaan.
Bagi mengelakkan timbulnya isu sekolah-sekolah mengambil kesempatan
menaikkan prestasi masing-masing, Muhyiddin berkata guru-guru dan
pemeriksa dari sekolah lain akan diminta menilai keputusan PT3 sesebuah
sekolah supaya dapat diselaraskan.
Dalam pada itu, timbalan perdana menteri sekali lagi menegaskan
pelaksanaan PT3 adalah untuk melihat pencapaian pelajar sejak dari awal,
dan membolehkan pelajar yang lemah dibantu untuk menjadi lebih
cemerlang pada pentaksiran akhir.
“Ibu bapa juga boleh datang ke sekolah pada bila-bila masa untuk melihat pencapaian anak-anak,” katanya.
Tambahnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Sarana PIBG telah dan
akan terus memberi penjelasan kepada waris murid berhubung pelaksanaan
PT3.
Mengulas mengenai karnival amal hari ini, Muhyiddin berkata ia merupakan
usaha yang amat baik bagi memupuk kerjasama, perpaduan dan hubungan
erat bagi sesebuah kawasan kejiranan.
“Kita dapat lihat penglibatan anak-anak muda dalam acara hari ini dan
usaha seperti ini harus disokong. Kita juga akan minta pihak Dewan
Bandaraya bantu mencari tapak untuk bina gelanggang futsal,” katanya.
Pada majis itu, Muhyiddin turut melakukan sepak mula bagi pertandingan
futsal yang diadakan bersama aktiviti lain seperti Family Fun Bike Ride,
wall climbing dan acara jualan.
Sumber: Bernama
0 Komentar untuk "Peperiksaan PT3 bakal gantikan PMR bermula 1 Julai depan"
Terima kasih untuk komen yang berharga anda, datang lagi.