KUALA LUMPUR 5
Ogos - Berikut kronologi operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pesawat
Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, hampir 17 bulan selepas ia
terputus hubungan pada 2.40 pagi, 8 Mac tahun lepas.
Pesawat
tersebut terputus hubungan di kedudukan, 120 batu nautika ke timur Kota
Kinabalu di ruang udara Laut China Selatan, dan tiada tiada-tiada
mengenai isyarat kecemasan daripada pesawat Boeing 777-200ER yang
membawa 239 orang.
Pesawat malang
itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41
pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Penumpangnya
terdiri daripada rakyat Malaysia (38), China (153), Indonesia (tujuh),
Australia (tujuh), Perancis (tiga), Amerika (tiga), New Zealand (dua),
Ukraine (dua), Kanada (dua), Rusia (satu), Itali (satu), Taiwan (satu),
Belanda (satu) dan Austria (satu).
Berikutan kejadian itu, Malaysia melancarkan operasi SAR melibatkan pelbagai negara dan usaha itu berterusan hingga kini.
Kronologi Penuh Tragedi Pesawat MH370
* 8 Mac 2014 (Hari Pertama) - Operasi SAR pesawat itu dilancarkan pada 5.30 pagi di Laut China Selatan.
* 9 Mac 2014 (Hari
Kedua) - Kawasan mencari diperluas ke Selat Melaka apabila disahkan
pesawat berkenaan berpatah balik. - Beberapa negara termasuk Singapura,
Vietnam, Indonesia, China dan Amerika Syarikat mengerahkan petugas dan
aset masing-masing membantu gerakan itu.
* 15 Mac 2014
(Hari Kelapan) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kali
terahir pesawat berkomunikasi dengan satelit ialah dari satu daripada
dua koridor yang berkemungkinan; koridor utara yang bermula lebih kurang
di sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand atau
koridor selatan, lebih kurang dari Indonesia hingga ke selatan Lautan
Hindi.
- 26 negara menyertai operasi dalam fasa ini, yang meliputi 2.24 juta batu nautika persegi.
* 24 Mac 2014
(Hari Ke-17) - Najib mengumumkan bahawa data dikeluarkan satelit
Inmarsat Britain memutuskan bahawa penerbangan itu berakhir di selatan
Lautan Hindi dan Australia akan mengetuai operasi mencari di kawasan
itu.
* 1 April 2014 (Hari Ke-25) - Kerajaan Australia melancarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) bagi menyelaras operasi mencari MH370.
* 3 April 2014
(Hari Ke-27) - Najib tiba di Perth, Australia untuk meninjau sendiri
operasi mencari, mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Australia
Tony Abbott.
* 4 April 2014
(Hari Ke-28) - JACC berkata operasi mencari MH370 memasuki fasa baharu
dengan pencarian dilakukan di dasar laut di selatan Lautan Hindi bagi
mengesan 'pinger' kotak hitam.
* 31 Julai 2014
(Hari Ke-146) - JACC berkata kerja ukur batimetrik yang dilakukan kapal
Zhu Kezhen dan Fugro Equator di sepanjang arka ketujuh di selatan
Lautan Hindi, berjalan lancar.
* 21 Okt 2014
(Hari Ke-227) - Kapal yang diberi kontrak oleh Malaysia, GO Phoenix,
menyertai operasi mencari bersama kapal yang diberi kontrak oleh
Malaysia-Australia, Fugro Discovery dan Fugro Equator.
- Kemudian, satu lagi kapal, Fugro Supporter ditambah untuk membantu usaha mencari.
* 29 Jan 2015
(Hari Ke-326) - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Datuk
Azharuddin Abdul Rahman mengisytiharkan secara rasmi bahawa MH370
mengalami kemalangan mengikut Standard Lampiran 12 dan 13 Konvensyen
Chicago dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal MH370 dianggap telah
terkorban.
* 12 Feb 2015
(Hari Ke-340) - Kerajaan Malaysia berbincang dengan China untuk
menambah kapal bagi menyertai operasi mencari Penerbangan MH370, yang
ketika itu melibatkan empat kapal.
* 18 Jun, 2015
(Hari Ke-466) - Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata
Malaysia meneruskan misi pencarian fasa dua MH370 dengan hanya dua buah
kapal meredah lautan kawasan terpencil di Lautan Hindi. Fasa satu
selesai pada bulan yang sama dan kawasan pencarian seluas lebih 52,000
kilometer persegi telah selesai diliputi dalam pencarian.
* 29 Julai, 2015
(Hari Ke-508) - Seorang pekerja pembersih pantai menjumpai bahagian
sayap sepanjang 2.7 meter dikenali sebagai flaperon yang pakar-pakar
percaya ia berasal dari pesawat Boeing 777. Satu-satunya pesawat Boeing
yang hilang di Lautan Hindi ialah MH370.
* 30 Julai, 2015
(Hari Ke-509) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
Malaysia telah menghantar dua pasukan - satu ke Toulouse di Perancis dan
satu lagi ke Pulau Reunion - susulan penemuan serpihan pesawat di pulau
yang terletak di Lautan Hindi.
* 5 Ogos (Hari
Ke-515) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa
flaperon yang dijumpai di pulau La Reunion ialah dari pesawat MH370
yang hilang.
Sumber : Rakyatnews
0 Komentar untuk "Kronologi Penuh Tragedi Pesawat MH370"
Terima kasih untuk komen yang berharga anda, datang lagi.