Assalamualaikum
Dugaan
demi dugaan melanda syarikat penerbangan MAS. Belum selesai dengan
tragedi MH370, kali ini membabitkan MH192 pula. Mujurlah ia dapat
ditangani dengan sebaiknya oleh kru pesawat berkenaan dan selamat
mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam pada itu, penumpang MH192 menceritakan detik kejadian berlaku
dan membuatkan mereka cemas seketika. Seorang penumpang warga India,
Pritesh Jain, 30, berkata perasaan bimbang dan cemas mula menyelubungi
dirinya dan beberapa penumpang lain sebaik juruterbang memaklumkan
pesawat itu terpaksa berpatah balik selepas berlepas ke Bangalore pada
jam 10.09 malam.
“Memang saya sangat takut selepas diberitahu tentang
masalah teknikal yang dihadapi pesawat yang saya naiki, namun
juruterbang dan kru penerbangan bertindak sebaik mungkin untuk
menenangkan kami serta menerangkan cara dan langkah yang harus diambil
untuk mendaratkan pesawat dengan selamat. Keyakinan saya dan beberapa
penumpang lain semakin bertambah apabila juruterbang memberitahu bahawa
dia terpaksa menghabiskan sebahagian besar minyak pesawat itu dengan
melakukan beberapa pusingan sebelum mendarat,” katanya.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri Ramanan Ganesan, 42, dan
Kavita Ravendran, 41, yang dalam perjalanan pulang ke India, selepas
seminggu melancong ke Malaysia, kejadian yang dilaluinya ini tidak
mematahkan sebarang perancangan untuk kembali bercuti semula ke negara
ini dengan menaiki pesawat MAS.
“Dengan apa yang baru berlaku ke atas saya, isteri dan
anak saya berusia 14 tahun, serta ditambah dengan insiden kehilangan
pesawat MH370, saya tidak menyalahkan MAS dalam semua situasi ini.”
Rata-rata penumpang memuji dan kagum dengan langkah keselamatan yang
dilakukan oleh kru pesawat berkenaan yang terpaksa berpatah balik ke
KLIA. Mereka memastikan semua 159 penumpang tidak cemas dan takut selain
mengikuti segala arahan keselamatan bagi memudahkan pesawat itu
mendarat dengan selamat.
Sementara itu, seorang penumpang berasal dari Pulau Pinang yang hanya
mahu dikenali sebagai Raymond, berkata kru kapal yang bertugas berjaya
menenangkan penumpang dan mengendalikan situasi itu dengan profesional.
Katanya, biarpun ada sesetengah penumpang dilihat panik dengan keadaan
itu namun juruterbang dan kru kapal berjaya mengawal keadaan.
“Kejadian ini adalah satu situasi yang tidak diingini
oleh sesiapa pun, namun juruterbang menjalankan tugasnya dengan amat
baik. Jika saya dapat berjumpa dengan juruterbang itu saya ingin
berterima kasih kepadanya kerana beliau berjaya menyelamatkan 159 nyawa
penumpang dan kru kapal dalam pesawat MH192,” katanya.
1 Komentar untuk "Pesawat MH192 mendarat cemas di KLIA jam 1.56am"
alhamdulillah segalanya selamat kan?
Terima kasih untuk komen yang berharga anda, datang lagi.