KUALA LUMPUR – Kanak-kanak dan remaja  Malaysia yang berusia lapan hingga 18 tahun didapati melayari internet  pada purata 19 jam seminggu, menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada  ancaman atau budaya negatif dunia siber seperti buli, penipuan identiti  dan pornografi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri  Shahrizat Abdul Jalil, berkata berdasarkan laporan antarabangsa, Norton  Online Family Report 2010, hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara  ini yang mengawasi kandungan laman yang diakses oleh anak mereka.
Oleh yang demikian adalah amat penting bagi ibu bapa memberi lebih  perhatian kepada anak-anak dengan turut mengawasi laman web yang diakses  mereka, katanya selepas merasmikan seminar mengenai perlindungan  kanak-kanak “Child Online Protection” di sini, hari ini.
Shahrizat berkata, kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini  mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada  2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015.
“Senario ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin ‘IT savvy’ setanding  dan konsisten dengan arah aliran antarabangsa, dan kebarangkalian  pengguna IT terdedah kepada ancaman dunia siber semakin tinggi termasuk  kanak-kanak,” katanya.
Berikutan kebimbangan mengenai ancaman siber terhadap kanak-kanak dan  remaja, katanya kementerian dengan kerjasama Kementerian Sains,  Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, SKMM, Polis DiRaja  Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan  Bangsa Bersatu (UNICEF) menganjurkan seminar hari ini bagi membincangkan  rangka kerja dasar dan perundangan untuk melindungi mereka.
Menurutnya, langkah itu susulan persetujuan Malaysia menyertai  Protokol Pilihan Kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan  Bangsa Bersatu (PBB) iaitu perlindungan penjualan, pelacuran dan  pornografi kanak-kanak pada September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Prof Datuk Husin  Jazri, berkata CyberSecurity Malaysia menerima 11,930 insiden  keselamatan siber pada Januari hingga September tahun ini dengan 4,175  daripadanya membabitkan penipuan.
Beliau berkata, jumlah itu meningkat 130 peratus berbanding 2010.
Bagi insiden keselamatan siber lain, beliau berkata spam mencatatkan  3,452 kes, pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), percubaan  menceroboh (525), gangguan siber (354) dan kesalahan berkaitan kandungan  (48).
“Pertambahan insiden keselamatan siber berkait rapat dengan  peningkatan kadar penggunaan Internet yang menyaksikan pengguna Internet  di seluruh negara kini berjumlah 17 juta orang. Jumlah ini terus  meningkat kerana disokong oleh pembangunan pesat prasarana jalur lebar,”  katanya. – BERNAMA
sumber : BERNAMA
1 Komentar untuk "kanak2 dan remaja malaysia, melayari internet 19jam seminggu"
Terima kasih untuk komen yang berharga anda, datang lagi.