Assalamualaikum
Kuala Terengganu - seorang kanak-kanak yang kini berusia enam tahun mendapat penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) hari ini atas keberaniaanya menyelamat adiknya dalam kebakaran yang berlaku di rumahnya tahun lalu.
Mohd Syawal Mohd Syukri menerima sijil penghargaan dan pakaian seragam bomba daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Salleh Sarbini sempena pembarisan tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu di sini.
Md Salleh Sarbini berkata, pihaknya kagum dengan keberanian Mohd Syawal
untuk menyelamat nyawa adiknya walaupun ketika itu kediaman mereka marak
dijilat api.
“Keberaniannya boleh menjadi contoh kepada masyarakat sekiranya turut
ditimpa insiden seumpama itu,” katanya kepada pemberita di sini hari
ini.
Md Salleh Sarbini (Dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada
adik, Mohd Syawal Mohd Syukri, 5 di temani bapanya, Shukri Mohd Nor, 47
(Kiri).
Katanya, walaupun ketika kejadian umurnya baru mencecah lima tahun namun
hero cilik itu mampu berfikir dan bertindak bijak dengan menarik
adiknya keluar selepas menyedari kebakaran itu.
Dalam kejadian 3 Ogos lalu Mohd Syawal berjaya menyelamatkan adiknya
yang berusia empat tahun ketika mereka sedang bermain di dalam rumah
sebelum ternampak api muncul dari bilik dan dapur kira-kira jam 11.30
pagi.
Anak sulung dari tiga beradik itu memberanikan diri mengeluarkan Mohd
Syakir dan membawanya ke rumah nenek mereka yang terletak berhampiran
rumah mereka.
Md Salleh berkata, JBPM juga sentiasa memberi penekanan terhadap aspek
keselamatan menerusi penubuhan Kelab Keselamatan Kanak-Kanak (3K) dari
peringkat tadika sejak 10 tahun lepas.
Sementara itu bapa kanak-kanak itu, Mohd Shukri Mohd Nor, 37, turut
melahirkan rasa bangga terhadap anak sulungnya itu yang menurutnya
bercita-cita menjadi pegawai bomba.
Beliau yang bekerja sebagai buruh berkata, sebelum kejadian itu dia
tidak pernah meninggalkan anaknya bersendirian di rumah namun pada hari
berkenaan dia dan isterinya Huslina Abd Rahman, 26, ingin membeli
keperluan untuk menyambut hari raya.
0 Komentar untuk "Mohd Syawal Hero Cilik mendapat penghargaan Bomba"
Terima kasih untuk komen yang berharga anda, datang lagi.