Assalamualaikum
KEMAMAN: Juruterbang pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS)
MH17, Wan Amran Wan Hussin, 50, berhasrat menunaikan fardu haji bersama
kakaknya pada musim haji bulan depan.
Menurut anak saudaranya, Amaluddin Noorshah, 48, hasrat itu
dinyatakan ketika Wan Amran pulang ke kampungnya untuk berbuka puasa
bersama sanak saudaranya di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, minggu
lepas.
“Dia menyatakan hendak menunaikan rukun Islam yang kelima itu bersama
kakaknya Wan Aini, ketika itu saya merasakan ada kelainan dari nada
suaranya,” katanya.
Amaluddin berkata beliau tidak menjangka itulah kali terakhir bertemu
bapa saudaranya setelah mendapat berita tragedi MH17 itu lewat malam
Khamis.
“Saya mengetahuinya melalui aplikasi ‘Whatsapp’ yang memang disertai
oleh ahli keluarga, lemah seluruh tubuh ahli keluarga kami setelah
mendapat tahu Wan Amran memandu pesawat terbabit,”katanya.
Amaluddin tidak menyangka tragedi buruk itu akan menimpa bapa
saudaranya kerana dalam pengetahuannya Wan Amran telah memandu pesawat
Boeing lebih 20 tahun lalu.
“Dia sangat rapat dengan adik beradiknya dan suka bersedekah, isteri dan dua anak lelaki tinggal di Shah Alam,”katanya.
Amaluddin mengakui hubungannya dengan bapa saudaranya itu memang rapat sejak daripada kecil lagi.
Pada sidang media khas di Hotel Sama-Sama, Sepang, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pesawat MH17, yang membawa 280
penumpang dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala
Lumpur, terhempas di timur Ukraine.
Beliau berkata setakat ini Malaysia tidak dapat mengesahkan punca
tragedi dan berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak
jatuh berhampiran sempadan Rusia, Khamis.
Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari
waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi waktu tempatan.
0 Komentar untuk "Juruterbang berniat mahu tunai haji bulan depan tidak kesampaian - MH17"
Terima kasih untuk komen yang berharga anda, datang lagi.