8 Sebab Kita Perlu Bersahur - Tanyalah Ustaz

Bangun sahur tak pagi tadi? Apa juadah ketika bersahur.... Hmm. puasa ramadhan tahun ini hampir tiga kali juga saya terbabas dari bersahur. Ada juga yang saya bangun hanya sempat minum segelas air kosong dan tiga biji kurma.. Alhamdulillah. rasa kenyang dan bertenaga itu saya dapat sehingga waktu berbuka...

Sahur adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diletak sebagai wajib, tetapi amat-amat digalakan untuk kita bersahur. Kalau ikut logiknya, sahur dapat memberikan kita tenaga untuk melakukan aktiviti harian sepanjang kita menahan lapar dan dahaga di siang harinya. Tapi ada juga yang mempersoalkan, bahawa tak bersahur pun kita masih lagi kuat berpuasa.... Ya, tak dinafikan. 

8 Sebab Kita Perlu Bersahur - Tanyalah Ustaz

10 Sebab Kita Perlu Bersahur - Tanyalah Ustaz

Sebenarnya saya tak pandai nak menulis panjang lebar berkenaan sebab-sebab kita perlu bersahur. Jadi untuk lebih faham, kita tanyalah ustaz. Di bawah adalah beberapa perkara berkaitan bersahur daripada soal jawap bersama Dr Maza (Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin).

  • Sahur adalah sunnah. Ia tidak wajib tetapi digalakkan. Kerana yang menjadi perbezaan antara puasa orang Muslim dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah bersahur.Sabda Nabi s.a.w: 
 " Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur", (Riwayat Muslim). 

Kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadhan ini. Maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w. termasuklah bersahur... Besar Rahmat Allah, sehingga seorang yang bangun bersahur, bertenaga esok harinya ketika berpuasa... serta dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.
  • Allah jadikan keberkatan dalam bersahur. Sabda Nabi s.a.w :
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.
  • Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang ingin berpuasa maka bersahurlah dengan sesuatu” (Riwayat Ahmad, disahihkan dengan syawahid).

Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar. Nabi s.a.w bersabda:

“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).

Kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan.
  • Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah:
“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).

Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.

Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.
  • Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula 10-20 minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid. Buktinya, Aisyah r.a menyebut:
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.
  • Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan (maksudnya):
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
  • Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.
  • Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.
 
Semoga ianya bermanfaat kepada semua. Selamat berpuasa.

0 Komentar untuk "8 Sebab Kita Perlu Bersahur - Tanyalah Ustaz"

Terima kasih untuk komen yang berharga anda, datang lagi.

 
Copyright © 2014 Bakul2011.com - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info